Quotes of The Day

Lidah yang menyebut Allah tidak pantas dipakai untuk menyebut kata-kata nista

-sokrates-

there is no short cut to heaven
(26/5/2010)

Saturday, November 20, 2010

Dajjal

Soalan:
SAYA ingin tahu siapakah dajal? Apakah dia manusia atau makhluk lain? Apakah benar dajal sudah berkeliaran? Harap ustaz dapat jelaskan.


Jawapan:
Dalam bahasa Arab, perkataan Dajal adalah lafaz atau sighah mubalaghah daripada dajjala jad-julu yang semakna dengan kadzaba jakdzibu, yang ertinya berdusta. Maka dajjala ertinya pembohong besar. Kerana ‘amsilatul mubalaghah itu adalah: auzanun qushida biha ad-dilalatu ‘ala kasrati it-tishofil maushufi bis-Shifati. (yang bererti: beberapa timbangan atau wazan, yang dimaksudkan untuk menunjukkan kepada banyaknya zat bersifat dengan sesuatu sifat.”

Untuk makna seperti ini, Nabi SAW bersabda (yang bermaksud): “Dan sesungguhnya akan ada pada umatku 30 orang pembohong besar (ataupun Dajal). Tiap-tiap seorang daripada mereka mengaku yang mereka Nabi. Aku penyudah sekalian Nabi-nabi. Tidak ada seorang Nabi pun sesudah aku.” Hadis ini riwayat Abu Daud.

Walau bagaimana pun, menurut Aqidah Islamiyah, bahawa Dajal yang kita disuruh untuk minta perlindungan Allah daripada gangguan itu ada suatu makhluk yang tertentu, yang akan datang pada akhir zaman, sebagai ujian Allah terhadap hamba-Nya dan diberikan kemampuan kepadanya untuk beberapa perkara yang luar biasa, seperti menghidupkan orang mati yang sudah dibunuhnya, dimilikinya kehidupan dengan segala kemegahannya di dunia, kemakmuran, syurga, neraka, diperintahnya turunnya hujan, diperintahkannya bumi untuk tumbuh subur, maka tumbuhlah bumi dengan tumbuh-tumbuhan. Akan tetapi semua itu terjadi dengan takdir dan kehendak Allah SWT. Kesudahannya, lelaki yang bernama Dajal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa a.s dan membunuhnya.
Diriwayatkan oleh Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut ad-Dajjal di hadapan khalayak ramai. Maka sabdanya: “Sesungguhnya Allah SWT tidaklah buta. Ketahuilah bahawa al-Masihud Dajjal buta matanya yang kanan. Seolah-olah matanya buah anggur yang menonjol. (Hadis ini riwayat Muslim).

Diriwayatkan daripada Huzaifah daripada Nabi SAW bersabda ketika bercerita mengenai Dajal (yang bermaksud): “Sesungguhnya bersamanya, air dan api. Maka apinya itu adalah air yang sejuk. Dan airnya itu adalah api. Maka janganlah kamu menjadi binasa.”

Juga, diriwayatkan daripada Abu Salamah, beliau berkata: “Aku pernah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku bercerita mengenai Dajal sebagai suatu perbicaraan yang belum pernah seorang Nabi menceritakannya kepada kaumnya. Sesungguhnya dia itu buta sebelah matanya dan dia akan datang membawa seperti Syurga dan Neraka. Maka apa yang dikatakan Syurga, itulah Neraka. Dan sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, sebagaimana Nabi Nuh a.s memperingati kaumnya. (Hadis ini riwayat Muslim)

Diriwayatkan pula daripada Aisyah, bahawa Nabi SAW selalu berdoa dalam sembahyang Baginda (yang bermaksud): “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau daripada siksa kubur dan aku berlindung dengan Engkau daripada cubaan Dajal dan aku berlindung dengan Engkau daripada ujian hidup dan ujian mati. Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada hutang dan dosa.” (Hadis ini riwayat al-Jama’ah kecuali al-Bukhari). Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment