



OH, MARILAH BERGELAK, HAHAHAHAHAHAHAHAH :))
Pelik? Percaya atau tidak, membuatkan diri ketawa boleh menjadi terapi terbaik tanpa kita sedari. Maklumlah, seratus kali ketawa sehari bersamaan dengan 10 minit berjoging. Ini sudah semestinya lebih mudah dilakukan berbanding berlari mengelilingi sebuah padang.
Taip sahaja perkataan ketawa dalam enjin pencarian Internet dan ratusan fakta tentang terapi ini boleh ditemui. Daripada memberi kepuasan mental sehinggalah mengubah penampilan fizikal, ketawa seakan satu keupayaan paling berharga anugerah Tuhan.
Seorang pakar psikologi Jerman, Dr. Michael Titze dalam kajiannya pernah berkata, secara purata, mereka yang hidup pada tahun 1950-an ketawa selama 18 minit sehari. Kini, kebanyakan kita hanya menghabiskan maksimum enam minit untuk ketawa setiap hari.
Berbanding orang dewasa, kanak-kanak lebih mudah tersentuh dan ceria. Sehari, mereka boleh ketawa sehingga 400 kali padahal orang dewasa secara purata hanya ketawa sebanyak 15 kali.
Mungkin sebab itulah, guru ketawa dari India, Dr. Madan Kataria begitu giat memperjuangkan kebaikan kesihatan menerusi ketawa.
Mengetengahkan terapi ketawa melalui yoga, Madan mengelilingi dunia demi membuktikan bahawa ketawa sememangnya penawar paling mujarab.
Madan berkongsi teknik-teknik ketawa berkumpulan menerusi gerakan kelab ketawa serata dunia yang diasaskannya.
Jangkitan ketawa yang diperkenalkan beliau nampaknya turut tersebar ke Malaysia. Ini berikutan penganjuran satu sesi Yoga Ketawa oleh sebuah pusat yoga terkemuka di Lembah Klang.
Tidak seperti yoga konvensional yang lebih tenang dan senyap, yoga ketawa menjanjikan satu pengalaman baru. Memang melucukan, seluruh kelas termasuk jurulatihnya tidak henti ketawa.
Terapi ini bermula dengan ketawa yang dibuat-buat. Jurulatih Cheryl Lim terpaksa melontarkan arahan-arahan ringkas yang berbunyi: "Jangan malu-malu. Ikut sahaja apa yang saya sebut."
"Sebut 'ho ho ho ha ha ha'. Ingat. Jangan malu. Jangan bersembang. Sebabnya, bila anda membuka mulut untuk bercakap, anda akan mula menganalisis. Itu tidak baik untuk membuatkan anda ketawa yang disarankan," kata wanita berusia 32 tahun ini.
Sambil bertepuk tangan setiap kali selepas menyebut 'Ho ho ho Ha ha ha', kelas yang terdiri daripada puluhan peserta itu mula diselubungi suara-suara mengekek.
Cheryl mula berjinak-jinak dengan seni yoga sejak enam tahun lalu juga pernah menghadiri bengkel anjuran guru yoga terkemuka termasuklah Madan.
Sebutan biasa 'Ho ho ho' dan 'Ha ha ha' serta tepukan tangan itu kemudiannya beralih kepada aksi yang lebih menyeronokkan.
Semua diajak berdiri setempat. Sambil membuat aksi menarik teh dan dituangkan ke dalam mulut, peserta perlu ketawa. Kata Cheryl, inilah yang dinamakan 'Ketawa Teh Tarik' - versi tawa daripada kehidupan harian rakyat Malaysia.
Selesai regangan itu, tumpuan dialihkan kepada Ketawa Kad Kredit pula. Jika selama ini, kenyataan kad kredit mendukacitakan, selepas ini, ketawalah sekuat hati anda!
Tidak payah menganalisis atau terlalu banyak berfikir. Yoga ketawa sememangnya mengajak anda membuang segala fikiran negatif sejauh mungkin.
Tidak perlu mengawal emosi atau control macho, yang penting, rileks dan ketawa sajalah, Ha ha ha!
Cheryl berkata, tidak ada satu cara yang betul untuk ketawa. Semuanya bergantung kepada diri masing-masing. Namun, aksi ketawa dalam yoga unik ini terdiri daripada puluhan mahupun ratusan jenis. Dia sendiri telah mempelajari 40 jenis aksi ketawa.
Antaranya termasuklah ketawa meminta maaf, ketawa menyambut, ketawa singa dan ketawa sambil mengukur tubuh.
"Oh, lain kali, kalau dimarahi bos, mungkin anda semua boleh cuba 'Ketawa Menghargai'. Ha ha ha ha ha... sambil membuat gaya menerima angpau di Tahun Baru Cina," ujar Cheryl yang tidak henti-henti ketawa.
Sesi yoga ketawa yang berlangsung kira-kira dua jam itu berhenti rehat selama beberapa minit setiap setengah jam. Tujuannya untuk membenarkan organ-organ dalaman berehat.
"Biasanya, sesi ketawa ini akan berlangsung kira-kira 20 minit hingga maksimum 30 minit. Ini bagi mengelakkan tekanan yang mungkin menjejaskan jantung," jelas Cheryl.
Tambahnya, yoga ketawa bagaimanapun tidak sesuai untuk sesetengah orang. Sekiranya anda pernah menjalankan pembedahan di perut, anda hanya disyorkan mencuba terapi ini selepas tiga bulan.
"Pesakit yang menghidap glaukoma juga tidak begitu digalakkan. Ini kerana ketawa boleh memberi tekanan kepada mata," katanya.
Seorang peserta, Carmen Nee yang ditemui Kosmo! berkata, dia menyertai sesi tersebut semata-mata untuk keseronokan.
"Saya pernah dengar orang sebut pasal yoga ketawa. Tetapi tidak begitu pasti bagaimana rupanya. Sekarang baru saya tahu, yoga ketawa begitu menarik dan menyeronokkan," kata wanita yang berusia 29 tahun ini.
Bercerita lanjut, Carmen mengakui pada awalnya dia berasa agak kekok dan malu untuk buat-buat ketawa.
"Mula-mula rasa macam bodoh... tapi tak sangka, lepas itu memang jadi amat kelakar sebab semua orang pun buat. Akhirnya, saya terus ketawa," terangnya.
Bayangkan, dalam satu senario, peserta diminta menunjukkan aksi meminta maaf sambil ketawa sekuatnya. Tidak logik dan tiada apa yang patut dimaafkan, cuma suara ketawa dan keceriaan yang mengisi seluruh kelas yoga.
Malah, keadaan itu membuatkan kumpulan wartawan yang duduk di belakang bilik membuat liputan gagal menahan emosi dan terus ketawa terbahak-bahak.
Jadi, bukankah benar ketawa sememangnya sesuatu yang berjangkit? Menariknya, kelibat seorang peserta menjadi tumpuan apabila dia ketawa sehingga terguling di atas lantai.
Aksi spontan peserta tersebut menyebabkan seluruh kelas ketawa tidak berhenti.
"Ini memang menyeronokkan. Tengok betapa menariknya sehingga membuatkan semua orang seronok. Baik untuk hilangkan stres," ujar Yea Hooi, 28, yang berdiri berdekatan.
Yea Hooi, juga seorang jurulatih yoga berkata, semua orang khasnya mereka yang sentiasa tertekan patut mencuba terapi ini.
"Siapa kata yoga semestinya senyap dan slow motion? Jika ketawa boleh membuang segala masalah yang terbuku di hati, mengapa tidak mencuba?" katanya sambil terukir senyuman di bibir.
Bagaimana aksi ketawa ini boleh dianggap sebagai yoga? "Ia adalah yoga kerana gabungan latihan ketawa dengan teknik pernafasan yang membawa masuk oksigen ke dalam tubuh dan otak. Maka, seseorang akan berasa lebih bersemangat dan sudah tentunya sihat!"
Nanti kalau nyonya dah meninggal, apa yang akan orang ingat pasal diri nyonya ialah GELAK. Siapa mahu lawan gelak atau join gelak dengan nyonya boleh. Sebab nyonya memang pakar bab bab gelak !
No comments:
Post a Comment